GAMBAR anak bongsu Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama iaitu Sasha Obama menjadi kashier di sebuah restoran menjadi viral apabila dikongsikan ramai netizen di laman sosial masing-masing.
Sasha, 15, dipercayai melakukan kerja sambilan di sebuah restoran makanan laut, Martha’s Vineyard di Massachusetts sempena cuti persekolahan musim panas.
Bagaimanapun, Sasha tidak berseorangan apabila pergerakannya sentiasa diperhatikan enam agen khas yang ditugaskan untuk memantau keselamatan dirinya.
Ketika Sasha melakukan kerjanya, agen-agen tersebut akan menunggu di dalam kenderaan mereka sehingga waktu kerja Sasha selesai.
Pihak White House masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung hal tersebut namun sebelum ini ibu Sasha, Michelle Obama pernah mengeluarkan kenyataan beliau mahu anak-anaknya menjalani kehidupan normal sama seperti remaja lain di luar sana.
Selain Sasha, pasangan Obama mempunyai seorang lagi anak perempuan iaitu Malia, 18. – MYNEWSHUB.CC