KUALA LUMPUR – Graduan psikologi, Ekta Gupta mula mengenali program Bahasa Inggeris 1Malaysia (BI1M) ketika melayari Internet.
Program itu menarik perhatiannya kerana ia menawarkan kemahiran penguasaan bahasa Inggeris kepada rakyat Malaysia setiap hari.
Gupta yang mempunyai pengalaman sebagai seorang guru kemudiannya membeli sendiri tiket penerbangan dari London ke Kuala Lumpur untuk mengambil bahagian dalam program berkenaan sebagai seorang guru.
Program BI1M merupakan projek perintis lima bulan di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan oleh Kementerian Kewangan dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan SOLS 24/7 untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris.
Ia berfungsi untuk mengajar asas bahasa Inggeris di 17 Pusat Transformasi Bandar (UTC) serta Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di seluruh Malaysia.
Gupta yang berasal dari Buckinghamshire di Britain berhubung dengan SOLS 24/7 untuk menawarkan perkhidmatannya secara sukarela sebagai seorang guru.
“Program ini sangat menakjubkan kerana ia membolehkan pelajar merasa yakin apabila bercakap bahasa Inggeris.
“Saya rasa program ini sangat interaktif dan kami bekerja rapat dengan pelajar-pelajar,” katanya kepada The Star.
Gupta yang berpangkalan di UTC Sentul sebagai pengurus pusat dan guru berkata, program BI1M telah mengajar beliau mengenai kepentingan pendidikan dan asas pengajaran.
Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata Kementerian Kewangan akan terus membiayai program ini pada skala yang lebih besar.
“Program seperti ini akan membantu meningkatkan tahap bahasa Inggeris dalam masyarakat kita.
“Sekiranya kerajaan tidak membantu, siapa lagi yang akan berbuat demikian?” katanya.
Mohd Irwan berkata program seperti itu perlu untuk meningkatkan kehidupan rakyat dan ia adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi di mana tidak ada seorang pun yang terpinggir. – mStar Online