Sepasang pengantin baru, Sumit Rathore dan isterinya, Shivani pasti tidak akan melupakan pengalaman mereka ketika bercuti untuk bulan madu di Hotel Nainital yang terletak di pusat peranginan Himalaya.
Apa tidaknya, ketika mereka sedang nyenyak tidur, seekor harimau bintang telah memasuki bilik mereka pada pukul 4.45 pagi.
Ketika itu Sumit terjaga selepas mendengar bunyi kaca pecah dan dia terkejut apabila mendapati harimau bintang tersebut berada berhampiran katil.
Harimau itu kemudiannya berlari memasuki bilik air. Binatang itu dipercayai masuk ke dalam bilik pasangan itu melalui tingkap.
“Walaupun saya terkejut, namun saya cepat-cepat bangun dan mengunci pintu bilik air,’’ katanya.
Mereka telah menghubungi kakitangan hotel dan tidak lama kemudian petugas jabatan hutan tiba dengan membawa ubat pelali dan senjata.
Terdapat laporan bahawa harimau itu berjaya melepaskan diri menuju ke masjid dan ada pula yang melaporkan ia cuba menyerang petugas jabatan hutan yang mahu menangkapnya.
Nainital merupakan kawasan tumpuan pelancong dan terletak di utara India.