KUALA LUMPUR – Setelah heboh dengan segala macam publisiti dan promosi bertaraf global, perhimpunan haram #Tangkap MO1 di ibu negara petang ini bermula amat hambar malah gagal dapat sambutan warga kota sendiri.
Tidak seperti himpunan jalanan tanpa permit Bersih 4.0 atau Baju Kuning yang mendapat sambutan kira-kira 20,000 peserta; kebanyakan penyokong DAP, waima diadakan dua hari menjelang Hari Kebangsaan 2015, namun demo #Tangkap MO1 hanya disertai ratusan orang.
Portal propembangkang melaporkan kira-kira 400 orang membanjiri program antikerajaan yang turut dikawal selia aktivis DAP dan PAN sekitar kompleks beli-belah Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman seawal jam 2 petang sebelum mereka berjalan santai ke Dataran Merdeka.
Dua buah trak polis dengan sepasukan anggota kelihatan mengawal ketat di kawasan dataran yang ditutup pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur kepada orang ramai sempena sebagai persediaan sambutan acara perarakan Hari Kebangsaan 2016 pada Rabu minggu depan.
Ekoran sambutan cukup luar biasa itu, seorang wanita dikenali sebagai Anis Syafiqah Md. Yusof yang tiba di Sogo dengan sebuah trak pikap berbanding peserta yang hadir menggunakan sistem pengangkutan awam, hanya mampu mula bergerak ke dataran menjelang 3 petang.
Sambil diiringi laungan ‘Hidup Rakyat’ agak longlai dan berjalan ala lenggang kangkung, orang ramai sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman tidak mempedulikan peserta himpunan haram itu bergerak seumpama ‘rombongan Cik Kiah’ datang ke bandar. – Mynewshub.cc/HAA