TIDAKÂ mahu berselindung lagi, pelakon kacak Fattah Amin akhirnya mengesahkan hubungan cintanya bersama Sherry Ibrahim telah berakhir.
Keputusan untuk berpisah itu adalah kata sepakat selepas mereka tidak mampu menyelamatkan hubungan yang bergelora sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Dalam pada itu, hero drama Hello! Mr Perfect ini enggan mendedahkan punca perpisahan mereka dan berpendapat tiada jodoh.
“Sebenarnya hubungan kami sudah lama renggang. Bagaimanapun kami berpisah secara baik. Hingga kini kami masih berkawan tambahan pula kami berada di bawah pengurusan sama.
“Saya anggap sudah bukan jodoh kami untuk melangkah ke fasa seterusnya. Soal kami berpisah terlalu peribadi untuk dikongsi. Kami juga pernah berbincang dan berusaha menyelamatkan hubungan ini.
“Namun kami tiada jodoh dan perlu reda berdepan situasi ini. Siapa pula kita untuk menolak ketentuan Ilahi,” katanya kepada BH Online.
Walaupun hubungan cinta mereka telah berakhir, Fattah berharap bekas kekasihnya terus maju dalam setiap bidang yang diceburi.
“Bagi saya Sherry seorang wanita yang baik. Saya tidak pernah putus berdoa supaya dia terus sukses dalam perjuangan seni dan kehidupannya,” katanya mengenai aktres terbabit.
Difahamkan Sherru kini sedang bercuti di luar negara.
Pasangan ini dikatakan sudah menyulam cinta sejak dua tahun lalu. – MYNEWSHUB.CC