NAMPAKNYA hubungan percintaan pelakon dan pengarah Pekin Ibrahim bersama seorang model antarabangsa, 23, yang bertapak di London benar-benar serius.
Baca:Â Pekin Ibrahim Bercinta Dengan Model Dari London?
Terbaharu, Pekin mengakui mereka sudah merancang untuk berkahwin pada tahun depan.
Menurut bintang kelahiran Kelantan ini, 35, dia telah membawa kekasihnya itu berjumpa ibunya dan hubungan mereka direstui.
“Dia sudah memeluk Islam baru-baru ini. Dia memeluk Islam bukan kerana mahu berkahwin dengan saya tetapi atas kerelaannya sendiri,” katanya kepada Harian Metro.
Jelas Pekin, perancangan itu dibuat berikutan kekasihnya yang dikenali sebagai Iman itu masih terikat dengan kontrak kerja di London sehingga hujung tahun ini.
“Saya pula sedang sibuk dengan projek filem baru. Biar semua urusan selesai baru kami berbincang persiapan perkahwinan,” katanya.
Dalam pada itu, Pekin enggan mengulas lanjut mengenai kekasihnya itu kerana masih terikat kontrak dengan beberapa jenama antarabangsa.
“Maaf saya tidak boleh kongsi lebih lanjut mengenainya. Cukuplah sekadar saya katakan dia adalah kekasih dan wanita yang berjaya membuka pintu hati saya,” katanya.
Selain bergelar model, kekasih Pekin juga merupakan seorang pelukis. – MYNEWSHUB.CC