MAKIN berleluasa pula kes akaun Instagram selebriti popular digodam individu tidak bertanggangjawab.
Terbaharu, pelakon Izreen Azminda menjadi mangsa apabila laman Instagram miliknya jadi mangsa penggodam.
Akibatnya habis hilang semua gambar dan video yang dikongsikan aktres tersebut selain 1.2 juta pengikutnya juga ‘dirampas’.
Mengulas mengenai hal itu Izreen berkata, “Saya tak tahu bagaimana untuk meluahkan rasa kerana terlalu sedih dengan apa yang berlaku. Lebih membuatkan saya terkilan, banyak gambar dalam akaun Instagram itu sudah tiada lagi dalam simpanan saya.
“Sebelum ini, saya begitu berhati-hati terutama apabila mendapat tahu banyak akaun rakan artis lain yang jadi mangsa penggodam.
“Setiap kali menerima emel berkaitan Instagram, saya tidak akan membukanya. Saya takut jika ia datang daripada pihak tidak bertanggungjawab tetapi, ia tetap berlaku dan saya begitu terkilan,” jelasnya dalam laporan disiarkan BH Online.
Menurut ibu kepada Adrian Umar ini, dirinya tambah kecewa kerana jumlah pengikut di laman sosial itu juga boleh menjadi penentu kepada seseorang artis menerima tawaran kerja daripada penerbit.
Izreen difahamkan sudah pun mewujudkan Instagram baharu di bawah nama izreen.azminda dan setakat artikel ini ditulis, ia sudah pun mengumpul lebih 26,000 pengikut. – MYNEWSHUB.CC