KUALA LUMPUR – Pemuda Parti Amanah Negara (PAN) Perak mahu Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) memastikan pemain muda negeri itu yang berjaya merangkul pingat emas dalam Kejohanan SUKMA 2016 di Sarawak pada 30 Julai lalu tidak dipancing pasukan lain.
Naib Ketuanya, Ahmad Shafiq Ahmad Ariffin berkata, permata-permata bola sepak itu harus dimanfaatkan sebaik mungkin untuk masa depan bola sepak Perak.
“Ternyata Perak tidak ketandusan pemain-pemain berkualiti yang akan membaris skuad utama Perak The Bos Gaurus selepas ini.
“PAFA perlu memastikan bakat mereka tidak dipersiakan atau dimanfaatkan oleh pasukan lain. Ini adalah satu kerugian besar kepada pasukan sekiranya ia berlaku,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Ahmad Shafiq turut memuji pasukan utama Perak The Bos Gaurus ketika ini yang majoritinya dibarisi pemain-pemain muda Perak tetapi menunjukkan prestasi yang sangat baik.
“Dari hari ke hari, mereka membuktikan akan kemampuan dan kualitinya. Ini adalah satu perkembangan yang sangat baik,” tegasnya.
Justeru, katanya, Pemuda PAN Perak mengucapkan jutaan tahniah kepada pihak pengurusan serta para jurulatih yang komited melahirkan pemain-pemain Perak yang berkualiti.
Perak dalam aksi Piala Malaysia Sabtu lalu mengejutkan ramai pihak apabila menumpaskan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) 3-0 yang dibarisi ramai pemain bintang bola sepak Malaysia. – Mynewshub.cc