KUALA LUMPUR – Jabatan Perdaftaran Negara (JPN) menahan seramai 12 lelaki dan tiga wanita warga asing berumur antara 23 hingga 60 kerana menggunakan MyKad palsu dalam satu operasi di sekitar Balok, Kuantan, Pahang bermula pukul 1 pagi tadi.
Ketua Pengarah JPN, Mohd. Yazid Ramli berkata, ‘Ops Terancang JPN’ itu dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Ibu Pejabat JPN Putrajaya dengan bantuan JPN Negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang serta pihak berkuasa lain.
“Hasil pemeriksaan yang dilakukan mendapati 11 orang yang ditahan disyaki telah menggunakan MyKad palsu sementara empat yang lain menggunakan kad pengenalan milik orang lain sebagai pengenalan diri.
“Siasatan lanjut ke atas kesemua yang ditahan mendapati mereka mengaku berasal dari Zamboanga, Basilan, Jolo dan Tawi-Tawi yang berbangsa Tausug,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mohd. Yazid berkata, kesemua yang ditahan disiasat di bawah Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang boleh membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya.
“Mereka yang ditahan dibawa ke JPN Pahang, Kompleks KDN Indera Mahkota untuk proses dokumentasi serta siasatan lanjut dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuantan untuk mendapatkan perintah tahanan reman,” katanya. – MYNEWSHUB.CC