KUALA LUMPUR – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menahan seorang pengawal keselamatan sebuah sekolah di sini kerana didapati menggunakan kad pengenalan (Mykad) palsu.
Ketua Pengarah JPN, Mohd. Yazid Ramli berkata, pengawal keselamatan itu ditahan oleh sepasukan lima pegawai dan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN kira-kira pukul 12.30 malam semalam.
“Bertindak atas maklumat awam, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN Putrajaya menjalankan Ops ID di sebuah sekolah menengah dan premis kediaman sekitar Kuala Lumpur.
“Hasil pemeriksaan ke atas salah seorang dari pengawal keselamatan yang bertugas mendapati beliau disyaki telah menggunakan Kad Pengenalan palsu sebagai pengenalan diri. Pengawal keselamatan tersebut kini ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mohd. Yazid berkata, pemeriksaan di lokasi kedua iaitu di premis kediaman di Kepong pula mendapati seorang lelaki berumur 30an turut menggunakan Mykad milik individu lain.
Pemeriksaan di lokasi kedua iaitu di premis kediaman di Kepong juga berjaya menahan seorang lelaki berumur lebih kurang 32 tahun yang disyaki melakukan kesalahan menggunakan Kad Pengenalan Milik Orang Lain sebagai pengenalan diri.
“Kedua-dua suspek telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang boleh membawa kepada hukuman penjara minimum tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya,” katanya. – Mynewshub.cc