SEORANG jurukamera Bernama News Channel (BNC) melalui pengalaman ngeri dalam hidupnya apabila power bank yang diletakkan di dalam begnya tiba-tiba terbakar hingga mengakibatkan paha kirinya melecur.
Dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah hari pada Khamis itu, mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Awie, 43, dilaporkan sedang bertugas membuat liputan berita pada satu majlis di Chow Kit, Kuala Lumpur.
Menurut Awie, kebakaran power bank miliknya itu cuma disedari apabila seorang wanita menjerit sejurus memandang ke arah begnya
“Saya duduk di kerusi sambil memangku beg di atas paha, tiba-tiba seorang wanita menjerit melihat beg saya terbakar di bahagian bawah.
“Power bank itu hadiah yang saya terima semasa membuat liputan dan baru menggunakannya semalam, saya juga telah mengecas penuh power bank itu namun tidak sempat menggunakannya hari ini,” katanya.
Berikutan itu, mangsa telah mendapatkan rawatan di sebuah klinik di Taman Melawati akibat kesan melecur yang teruk. – MYNEWSHUB.CC