PENYANYI Kaka Azraff atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraff, 27, memberitahu bahawa keputusannya untuk tidak berkawan rapat dengan golongan selebriti bukanlah satu isu kerana ia merupakan hak peribadi masing-masing.
Menurut Kaka, dia tidak mempunyai sebarang sebab tertentu terhadap keputusannya itu tetapi dia sebenarnya lebih selesa berkawan dengan golongan biasa yang bukan bergelar selebriti.
“Bukannya saya langsung tidak berkawan dengan rakan artis yang lain, cuma tidak begitu rapat. Kami berjumpa ketika ada persembahan atau acara hiburan sahaja.
“Saya cuma berkawan baik dengan Juliana Evans sahaja kerana saya sudah kenal dia sebelum saya bergelar penyanyi lagi.
“Ini bukan masalah kerana banyak artis yang membuat keputusan seperti saya. Bukan saya seorang sahaja,” katanya kepada mStar Online.
Tambahnya, pendekatannya itu tidak mempunyai sebarang kaitan dengan dakwaan yang mengatakan dia diboikot rakan selebriti yang lain sebelum ini. – MYNEWSHUB.CC