KUALA LUMPUR – Seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat  ditemui orang ramai di hadapan sebuah rumah pangsapuri di Jalan  Jelawat 2, Cheras, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Chong Kok Sin berkata, bayi yang dipercayai baru beberapa hari dilahirkan itu ditemui kira-kira pukul 2.15 petang.
Menurutnya, orang ramai menemui bayi tersebut di atas lantai di  tingkat 12 pangsapuri itu yang dibalut dengan baju sejuk berwarna  kelabu.
Terdapat beberapa kelengkapan bayi seperti lampin, susu, minyak  angin dan tisu basah yang diletakkan dalam plastik berdekatan dengan bayi malang itu.
“Bayi perempuan itu dihantar ke Pusat Perubatan Universiti  Kebangsaan Malaysia untuk menerima rawatan dan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, siasatan akan dilakukan ke atas klinik dan hospital berdekatan bagi mengenal pasti ibu mangsa.
Susulan kejadian itu, polis menahan seorang lelaki berusia 25  tahun kira-kira pukul 12.30 tengah hari tadi bagi membantu  siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang  bayi. – MYNEWSHUB.CC