ALOR SETAR – Jabatan Kastam Diraja Malaysia Kedah berjaya merampas pelbagai jenis rokok dan minuman keras yang diseludup dalam sebuah lori tangki minyak bernilai RM334,406 dengan nilai cukai RM1.15 juta.
Pengarahnya Datuk Abdul Latiff Abdul Kadir berkata hasil maklumat awam, sepasukan anggota penguat kuasa menahan lori tersebut yang baru tiba dari Pulau Langkawi di Pelabuhan Jeti Kargo Kuala Kedah pada 10.10 pagi, 25 Julai lepas.
Beliau berkata pihaknya menunggu pemandu lori tangki berkenaan hampir sejam namun pemandu terbabit tidak muncul sebelum kastam menahan lori tersebut yang diuruskan ejen perkapalan.
“Hasil pemeriksaan mendapati lori tangki ini mempunyai enam ruangan kargo di mana empat ruangan digunakan untuk mengisi rokok dan minuman keras, manakala dua ruangan lagi kosong, dipercayai digunakan untuk mengisi minyak,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang akhbar di sini, hari ini.
Katanya pihak kastam menemui sebanyak 1.6 juta batang rokok dengan berat 1,630 kilogram bernilai RM163,300 dengan cukai RM942,873.60 serta minuman keras berkualiti tinggi sebanyak 1,669.8 liter bernilai RM171,106, melibatkan cukai RM208,630.
Abdul Latif berkata semasa keluar dari Pulau Langkawi, lori tangki tersebut diikrar tanpa muatan atau kosong kargo.
Beliau berkata penggunaan lori tangki berkenaan bertujuan mengalih perhatian pihak berkuasa dan dipercayai aktiviti penyeludupan berkenaan telah dilakukan lebih daripada sekali.
Katanya barangan seludup itu dipercayai untuk edaran pasaran tempatan.
Kastam katanya sedang menyiasat pemilik kenderaan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 kerana mengangkut barang larangan/belum lulus kastam. – BERNAMA