KECUAIAN meninggalkan anak di dalam kereta ini sering kali dilaporkan dalam berita, namun ibu bapa atau penjaga ini seakan tidak menghiraukan kesan di atas perbuatan mereka.
Hilang dalam sekelip mata, itu yang dapat digambarkan mengenai kejadian yang berlaku di Johor Bharu, baru-baru ini apabila kereta jenis BMW yang dimiliki seorang warga Singapura disamun seorang lelaki yang tidak dikenali.
Perkara yang lebih membimbangkan apabila, anak pemilik kereta yang berusia tujuh tahun berada di dalam kereta itu.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa bersama anaknya mengunjungi sebuah farmasi di Taman Melodi sebelum membiarkan anaknya di dalam kereta.
Selepas membeli beberapa barangan di farmasi tersebut, mangsa yang berusia 50 an itu mendapati keretanya hilang termasuk anaknya.
Mangsa cuba menghubungi telefon bimbitnya yang ditinggalkan dalam kereta, namun tiada jawapan.
Bimbang dengan keselamatan anaknya, mangsa memuat naik gambar anak lelakinya itu di dalam laman sosial dan meminta bantuan netizen untuk mencari anaknya.
Kanak-kanak itu ditemui kira-kira enam jam kemudian, kira-kira jam 10 malam di Danga Bay iaitu lapan kilometer daripada tempat kejadian. – MYNEWSHUB.CC