KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menganjurkan program mini konsert KL Street Jam “Merdeka In The Park” bersempena sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini.
DBKL dalam satu kenyataan media berkata, program itu akan berlangsung di Taman Tasik Permaisuri, Cheras di sini bermula pukul 8.30 pada 27 Ogos ini.
“Program ini akan menampilkan artis-artis jemputan tanah air iaitu Ibnor Riza, Zamani Slam, Zarul Umbrella, Poey Sting dan Linda Eca serta Kumpulan Kesenian DBKL,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut DBKL, artis jemputan dan kumpulan kesenian terbabit akan mempersembahkan nyanyian lagu serta tarian berunsurkan semangat patriotik.
Kata DBKL, mini konsert KL Street Jam “Merdeka In The Park”itu terbuka kepada kehadiran orang ramai. – Mynewshub.cc