TEPATÂ 9.00 malam pada 29 Ogos, penonton berpeluang mengikuti laporan eksklusif Musim Haji selama 30 minit. Program dwi lokasi ini, kombinasi tim penerbitan di Makkah dan kru Studio Digital Pusat Islam.
Labbaikallah disiarkan secara langsung di TV AlHijrah.
Dijangka lebih 2 juta jemaah haji sudah berada di Tanah Suci menjelang bermulanya Musim Haji tidak lama lagi. Sejak penerbangan pertama pada 3 Ogos, lebih separuh daripada 22 ribu jumlah jemaah Malaysia kini sudah tiba di Tanah Suci.
Jemaah negara ini akan menyertai lebih empat juta umat Islam dari seluruh dunia apabila kemuncak musim haji tiba.
“Laporan Musim Haji langsung dari Mekah dibuat sejak 2010. Kami komited malah banyak penambahbaikan dibuat,” kata Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Izelan Basar.
Program Labbaikallah disiarkan 17 hari berturut-turut dengan fokus berita terkini perkembangan jemaah haji di Tanah Suci.
“Dengan tamu khas Mutfi Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Al Bakri dan hos Ustaz Don Daniyal Don Biyajid, Labbaikallah lengkap sebagai program berteraskan ilmu dan ibadah,” kata Izelan.
Tahun ini pertama kali TV AlHijrah menganjurkan Kuiz Ibadah Haji. Penonton hanya perlu menjawab satu soalan dalam setiap episod dan kumpulkan. Semua 17 soalan dihantar setelah program berakhir pada 15 September.
Pemenang akan menerima hadiah Proton Saga, tiga motorsikal Modenas dan 6 pakej umrah. – MYNEWSHUB.CC