KUALA LUMPUR – Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah akan memperluaskan lagi kewujudan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) ke seluruh negara selepas sasaran awal untuk menubuhkan satu RTC di setiap negeri sudah tercapai.
Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagaimanapun ketika ini hanya Sabah sahaja yang masih belum memiliki RTC dan tapak untuk membina pusat itu sedang dicari di negeri itu.
“Sasaran kita pada awal dahulu adalah menubuhkan satu RTC di setiap negeri kecuali dua RTC di Sabah dan Sarawak kerana kedua-dua negeri adalah sangat luas.
“Tetapi kini ia akan diperluaskan, kita akan cari mana-mana bangunan kerajaan yang sudah tidak digunakan dan kawasan itu kita lihat ada potensi perniagaan, kita akan perluaskan lagi.
“Jadi RTC ini bukan saja pusat perkhidmatan jabatan kerajaan, tetapi juga untuk pusat pengumpulan produk pertanian dan industri desa. Ini adalah satu Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NbOS) kementerian dan juga kementerian lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis sambutan ulang tahun ke-68 Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan majlis memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) GPMS-Kolej Universiti Poly-Tech MARA (KUPTM) di sini, hari ini.
Baca:Ă‚Â KTPM Ke Arah Pembangunan Negara Bangsa
Turut hadir Presiden GPMS, Zambri Mohd Isa dan Pengerusi KUPTM, Ahmad Nazlan Idris. Sementara itu, Zambri berkata, menerusi MoU itu, GPMS akan turun ke sekolah memberi penerangan kepada pelajar mengenai KUPTM.
Katanya, melalui kerjasama itu GPMS dapat membantu KUPTM mendapatkan pelajar dan pelajar pula berpeluang melanjutkan pelajaran di situ.
“Seperti kita tahu KUPTM adalah institusi yang baik dan berkualiti serta mempunyai akreditasi yang diiktiraf. “Selain itu, pelajar juga berpeluang mendapatkan pinjaman pelajaran sama ada dari MARA atau Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN),” katanya. – BERITA HARIAN