BARU-BARU ini Kamal Adli telah berangkat ke Eropah bagi menjalani penggambaran program dan drama, tetapi malangnya dia telah diragut ketika bergambar di Barcelona, Sepanyol.
Dalam insiden itu, Kamal mendakwa telah kehilangan wang tunai RM10,000 serta sebuah beg yang mengandungi kad pengenalan, pasport antarabangsa dan visanya.
“Silap saya sendiri juga kerana leka mengambil gambar pemandangan sekeliling. Saya meletakkan beg berkenaan di atas bagasi dan kejadian itu berlaku dengan pantas.
“Memang berpeluh juga apabila mengenangkan dalam beg itu terdapat pasport dan wang perbelanjaan saya di negara orang.
“Proses buat pasport baharu dan visa sedikit leceh. Saya buat pasport di London dan mengambil masa lebih kurang seminggu untuk saya dapatkan kembali. Pengalaman itu sedih untuk diingat kembali,” katanya kepada BH Online.
Menurut Kamal, kejadian itu berlaku di hadapan Hard Rock Cafe Barcelona dan dia sukar mengesan pencuri tersebut kerana ramai orang di kawasan tersebut. – MYNEWSHUB.CC