DUNGUN – Seorang penuntut Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, di sini maut manakala rakannya kritikal selepas lemas ketika mandi di pentai Teluk Bidara, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu mangsa bersama 12 lagi rakan mereka ke pantai berkenaan untuk bermandi manda namun dipukul ombak besar hingga menyebabkan mangsa Mohammad Nawi Musa, 21 dan rakannya Barathratnam Bala Subramanim, 20, lemas.
Muhammad Nawi dikatakan tenggelam ke dasar laut manakala rakannya terkapai-kapai sebelum berjaya ditarik dua rakannya ke daratan.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Dungun, Supt Ahmad Zailani Yaacob berkata mayat mangsa dijumpai kira-kira pukul 7 malam tadi tidak jauh dari lokasi dia dilaporkan lemas.
Manakala rakannya yang berasal dari Selangor dikejarkan ke Hospital Dungun untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Mayat mangsa yang berasal dari Cendering, Kuala Terengganu di bawa ke Unit Forensik Hospital yang sama untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada Bernama. – BERNAMA