IA merupakan pekerjaan yang paling mudah, iaitu mengawasi keselamatan perenang terbaik di dunia, namun ternyata keadaan itu tidak mengujakan bagi seorang ‘lifeguard’ atau penjaga kolam renang yang bertugas pada sukan Olimpik Rio ini.
Wajah kebosanan itu dirakamkan ketika pertandingan renang lelaki yang diadakan pada Ahad.
Ternyata lifeguard itu tidak teruja meskipun perenang yang berada di depannya adalah mereka yang terbaik di dunia.
Wajahnya itu telah menjadikan dia sebagai bahan ‘troll’ di media sosial dengan ramai yang menyindirnya.
“Penjaga kolam renang Rio bermimpi menyelamatkan pemegang 18 kali pingat emas, Michael Phelps,” demikian salah seorang yang menyindir penjaga kolam renang itu dalam Twitter.
Selain itu, ada juga yang menggelarnya sebagai `pekerjaan paling tak guna di dunia – penjaga kolam renang Rio’ dan `pekerjaan paling mudah’.
Penjaga kolam renang itu juga dipersendakan ‘jika anda berasakan diri tidak bernilai, ingatlah seseorang yang menjadi pengawal kolam renang pada sukan olimpik’.
Mengikut undang-undang Brazil, ia adalah satu keperluan undang-undang untuk mempunyai penjaga kolam yang bertugas pada setiap masa di kolam awam. – MYNEWSHUB.CC