AMPANG – “Luluh hati saya sebaik mendapati semua wang berjumlah RM5,000 disimpan di dalam tin biskut musnah terbakar,†ujar mangsa kebakaran, Liana Sarono, 46.
Dalam kejadian pukul 12.30 tengah hari semalam, sebanyak empat rumah termasuk sebuah kereta dan motosikal musnah terbakar dalam kebakaran di Kampung Pandan Dalam, di sini.
Mangsa yang ditemui berkata, dia menyewa rumah berkenaan bersama suaminya sejak tiga tahun lalu.
“Saya sedih apabila semua wang simpanan dan dokumen penting disimpan musnah sekelip mata.
“Wang dikumpul sebanyak RM5,000 itu bakal digunakan anak saya untuk menyambung pengajiannya,†katanya.
Menurutnya, dia hanya mengetahui kejadian itu apabila dihubungi jirannya.
“Ketika kejadian saya sedang berada di tempat kerja di Sungai Besi dan segera bergegas pulang.
“Tiada apa yang dapat diselamatkan. Saya dan suami kini tinggal sehelai sepinggang,†katanya sedih sambil menunjukkan tong biskut yang hangus terbakar.
Sementara itu pemilik kereta, Jufri Adi Mawasi, 31, berkata, dia turut mengalami kerugian apabila kereta Proton miliknya turut hangus terbakar.
Menurutnya, beberapa jiran bertindak membantu menolak keretanya yang terletak berhampiran rumah yang terbakar itu.
“Malangnya usaha mereka gagal berikutan api marak dengan pantas,†katanya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd. Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.48 tengah hari sebelum mengerahkan tiga jentera serta 16 anggota ke lokasi kejadian.
“Anggota bomba yang menjalankan operasi pemadaman berjaya mengawal kebakaran daripada terus merebak ke rumah berhampiran.
“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 1.07 tengah hari dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan,†katanya. – myMetro Online