KUALA LUMPUR – Presiden Parti Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata beliau akan mengadakan perjumpaan tertutup dengan semua pemimpin Gerakan Pulau Pinang bagi menyelesaikan kemelut dalaman parti itu.
Beliau berkata beliau akan ke negeri itu dua minggu lagi untuk mendengar luahan dan masalah yang dihadapi dalam kalangan pemimpin parti itu.
“Dalam perjumpaan tertutup itu, mereka boleh berbincang dan luahkan perasaan supaya dapat mencapai kata sepakat sekali gus menyelesaikan isu yang bangkit,” katanya selepas merasmikan persidangan perwakilan tahunan perhubungan negeri, pemuda dan wanita Gerakan Wilayah Persekutuan di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas tindakan Timbalan Setiausaha Agung Gerakan, Dr Thor Teong Gee yang meletak semua jawatan dalam parti selepas mendakwa reputasinya terjejas berikutan pergeseran dalaman untuk jawatan Penyelaras Bahagian Sungai Pinang serta kemungkinan menjadi calon pilihan raya umum akan datang.
Susulan itu, Naib Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong menafikan beliau mahu mengambil alih jawatan Penyelaras Bahagian Sungai Pinang dan tidak berniat menjejaskan reputasi Dr Thor.
Mah juga mengesahkan bahawa beliau telah menerima mesej daripada Dr Thor mengenai peletakan jawatan itu dan menasihatinya untuk bertenang serta berjanji akan berjumpa dengan beliau secepat mungkin.
Beliau juga menasihati kedua-dua pihak dalam parti itu supaya tidak lagi mengeluarkan sebarang kenyataan media berkenaan isu dalaman parti.
“Memberitahu isu dalam parti kepada musuh di luar seolah-olah membunuh diri sendiri. Jadi hentikan perbuatan itu,” tegas beliau. – BERNAMA