KUALA LUMPUR – Malaysia naik lapan anak tangga menjadi negara ke-28 paling berkeyakinan di peringkat global pada suku kedua 2016 berbanding pada kedudukan ke-36 pada suku pertama, menurut laporan Kaji Selidik Global Nielsen berhubung Keyakinan dan Keinginan Berbelanja Pengguna.
Nielsen merupakan sebuah syarikat pengurusan prestasi global.
Pengurus Negara bagi Nielsen Malaysia, Richard Hall, berkata negara mengalami penurunan nilai mata wang dan melepasi tahun pertama pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) tanpa memberi kesan yang ketara kepada kemerosotan ekonomi.
“Oleh itu, keyakinan pengguna Malaysia semakin pulih, dengan lebih ramai rakyat Malaysia percaya keadaan ekonomi adalah lebih mantap berbanding setahun yang lalu,” katanya dalam kenyataan.
Selain ekonomi (45 peratus) dan jaminan pekerjaan (25 peratus) kekal menjadi dua perkara yang menjadi kebimbangan utama dalam kalangan pengguna Malaysia, lebih satu pertiga daripada pengguna Malaysia juga positif tentang prospek pekerjaan tempatan dalam tempoh 12 bulan akan datang (36 peratus berbanding 27 peratus dalam suku sebelumnya), katanya.
Hall berkata hampir separuh pengguna juga mempunyai pendapat yang sama mengenai keadaan kewangan peribadi mereka pada tahun depan (48 peratus berbanding 40 peratus) walaupun keadaan ekonomi lembap.
“Setahun selepas pelaksanaan GST, pengguna semakin berkeyakinan untuk berbelanja dalam kebanyakan kategori makanan dan bukan makanan.
“Langkah terkini kerajaan dalam mengurangkan 11 peratus wang caruman pekerja dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak tiga peratus dan peningkatan gaji minimum turut menyumbang kepada kuasa berbelanja pengguna yang lebih besar,” katanya.
Kaji selidik itu turut menekankan kebimbangan utama lain dalam kalangan rakyat Malaysia yang termasuk keseimbangan hidup dan kerja (16 peratus), hutang (16 peratus) dan kestabilan politik (16 peratus). – BERNAMA