ATHENS – Buat pertama kali dalam hampir dua abad, sebuah masjid bakal dibina semula secara rasmi di ibu kota Greece, Athens, susulan tekanan daripada negara jirannya, Turki, menurut laporan media tempatan.
Langkah dramatik itu mengakhiri perintah larangan keras selama 180 tahun terhadap pembinaan sebarang masjid di Athens oleh pemerintah Greece. Ibu negara itu dianggarkan mempunyai kira-kira 200,000 orang Islam daripada keseluruhan 3.7 juta penduduknya.
Media tempatan melaporkan, Datuk Bandar Athens, Giorgos Kaminis pada awal bulan ini, meluluskan satu rang undang-undang kecil setempat untuk pelan mempercepatkan rancangan tertunda lebih 10 tahun lalu bagi membina masjid di kawasan kejiranan Votanikos.
Tiada masjid baharu dibina di Athens sejak berakhirnya pemerintahan Empayar Ottoman di Greece pada tahun 1829. Islam merupakan agama rasmi Empayar Ottoman yang ketika itu meliputi Greece dan sehingga sejuta umat Islam dipercayai masih lagi tinggal di Greece.
Di Athens sahaja, sekitar ratusan ribu orang Islam terpaksa menggunakan lebih 100 buah masjid ‘tidak rasmi’ dan kebanyakannya hanya terletak di kawasan garaj kenderaan atau ruang lapang aras bawah tanah yang diubah suai untuk solat jemaah, menurut stesen Press TV.
Dengan bertambahnya pelarian sama ada mangsa perang atau pencari suaka politik dari rantau Asia Barat dan Afrika Utara yang datang berhijrah ke Greece, bilangan masyarakat Islam itu terus meningkat, dan ini bermakna sepatutnya banyak lagi masjid kini lebih diperlukan.
Athens satu-satunya ibu kota dalam blok Kesatuan Eropah yang tidak mempunyai sebarang masjid. Recep Tayyip Erdogan sewaktu menjadi Perdana Menteri Turki pernah ‘menekan’ Perdana Menteri Greece, George Papandreou pada 2010 untuk segera membina sebuah masjid.
Ia susulan pendedahan laporan cukup mengejutkan apabila dana sebanyak 15 juta euro (kira-kira RM68 juta) yang didermakan banyak negara Islam dari seluruh dunia dan disimpan oleh pihak Kementerian Pendidikan Greece sejak 2006 dikatakan hilang secara misteri.
Kaminis, menyifatkan rang undang-undang baharu itu sebagai “langkah penting bagi hak asasi dan terutamanya hak untuk mengamalkan agama dalam keadaan yang menghormati para penganut” selain mengekang penularan ancaman pengganas Daesh oleh anasir jahat.
Rang undang-undang tersebut menganggarkan 946,000 euro (kira-kira RM4.3 juta) akan diperuntukkan untuk membina sebuah masjid di sebuah tapak bekas pangkalan tentera laut tempatan yang tidak lagi digunakan dan pernah dimiliki oleh Kementerian Pertahanan Greece.
Selepas era Ottoman atau zaman Khalifah Uthmaniah ‘hilang kuasa’ di Greece pada awal abad ke-19 lalu, Gereja Ortodoks Greek menjadi pihak berkuasa hal ehwal agama di negara Eropah itu dan umat Islam diusir ke Turki, namun ada juga masih menetap di pedalaman Greece.
Masjid Tzistarakis di Monastiraki Square, tengah Athens antara masjid era Ottoman yang dibina pada 1759 dan masih lagi kekal di ibu kota Greece sebelum diubah menjadi sebuah penjara dan kemudian dijadikan pula muzium seni rakyat setempat. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA