APLIKASI Facebook yang menjadi penghubung kepada manusia seluruh dunia juga boleh menjadi penyebab kematian.
P Panjavarnam, 56, meninggal dunia ketika cuba meleraikan pergaduhan antara dua keluarga di Flat Jalan Kurau, Georgetown, Pulau Pinang.
Mangsa dipercayai ditendang dan dipijak seorang wanita dan adik lelakinya hingga menyebabkan dia sukar bernafas.
Kejadian dilaporkan berlaku akibat pertelingkahan antara cucu saudara mangsa dengan adik lelaki wanita itu dalam Facebook apabila satu pihak menulis ayat-ayat yang menghina.
Tidak cukup bergaduh di Facebook, suspek dan adik lelakinya ke rumah mangsa untuk menyelesaikan pertelingkahan namun bertukar menjadi pergaduhan.
Dalam kejadian kira-kira 11.15 malam Isnin itu, mangsa yang cuba meleraikan pergaduhan itu cedera parah dan di bawa ke Hospital Pulau Pinang sebelum disahkan mati.
Susulan kejadian itu, tiga wanita dan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun di tahan polis bagi membantu siasatan. –MYNEWSHUB.CC