MELAKA – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menyita tiga mesin judi di premis yang menjalankan perniagaan permainan snuker tanpa lesen di sebuah pusat membeli-belah di Jalan Tun Ali di sini, hari ini.
Datuk Bandar MBMB Datuk Zainal Hussin berkata mesin judi bernilai kira-kira RM180,000 yang dipercayai baru dua hari ditempatkan di premis berkenaan, dirampas dalam operasi bersepadu kira-kira pukul 12 tengah hari tadi.
“Setiap satu mesin berkenaan boleh dimainkan lapan orang pada satu-satu masa dan ia menggunakan ‘token’ yang perlu dibeli pada harga RM10 setiap satu.
“Berdasar maklumat awal, tiga mesin berkenaan baru satu hari digunakan untuk aktiviti judi di premis tersebut sebelum serbuan dilakukan,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini hari ini.
Turut hadir Pegawai Khas Datuk Bandar MBMB Yusof Abu Hassan dan Setiausaha MBMB Sheikh Mohd Nasir Sheikh Salim.
Zainal berkata tidak ada tangkapan dilakukan ketika serbuan itu kerana tiada sesiapa dalam premis berkenaan dan MBMB turut merampas kamera litar tertutup di situ untuk siasatan lanjut.
“Kita akan terus memantau aktiviti perjudian tanpa lesen di kawasan MBMB dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat serta merampas mesin judi yang digunakan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata MBMB telah mengeluarkan notis pemindahan sementara kepada 142 peniaga ikan, sayur dan barangan runcit di bahagian kanan Pasar Besar Melaka Sentral di Peringgit yang terjejas ekoran mendapan tanah sehingga menyebabkan struktur bangunan terutama tiangnya retak.
Katanya mereka akan dipindahkan ke kawasan parkir dalam pasar berkenaan dan kerajaan negeri akan membina sebuah pasar sementara yang masih dalam pemilihan lokasi.
“Kita telah selesai bina khemah di kawasan parkir tersebut semalam untuk menempatkan mereka sebelum pasar sementara dibina,” katanya. – BERNAMA