KUALA LUMPUR – Anggota UMNO khususnya di Selangor digesa turun padang dengan berbekalkan pemikiran kemenangan dalam usaha memastikan negeri itu dapat ditawan semula UMNO dan Barisan Nasional pada pilihan raya umum akan datang.
Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Idris Haron menegaskan selain itu, dua lagi elemen yang perlu dimiliki mereka ialah keberanian dan kebersamaan dalam kalangan anggota.
“Anggota UMNO ketika ini perlu bergerak dalam satu ketua, satu suara dan satu gerakan. Kita perlu satu pemikiran, satu hati dan satu tindakan kerana amalan itu sahaja diyakini dapat meredah (menawan) Selangor,” katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Ampang di sini hari ini.
Ketua Menteri Melaka itu berkata anggota UMNO juga perlu mengambil iktibar daripada perpecahan dalaman pembangkang.
“Ini masa terbaik untuk UMNO rapatkan barisan, garapkan tenaga untuk merampas apa yang kita hilang ke pangkuan Barisan Nasional,” kata Idris.
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Ampang Datuk Ismail Kijo berkata UMNO Ampang yakin untuk memecah tembok ‘kemustahilan’ menawan semula Selangor pada pilihan raya umum akan datang.
“Kami telah gerakkan jentera parti dan menambah pengundi. Seluruh anggota UMNO Ampang juga telah bersepakat untuk terima siapa jua calon yang dipilih pucuk pimpinan untuk mewakili negeri ini,” katanya.
Menurutnya, kerajaan negeri Selangor dilihat tidak mampu menjanjikan keselesaan untuk rakyatnya termasuk dari segi penyediaan rumah. – BERNAMA