KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin sah presiden parti politik baharu ‘dicipta’ Tun Mahathir Mohamad dan akan mendaftar parti itu secara rasmi dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS) 5 Ogos.
“Kami buat mesyuarat pertama dipengerusikan oleh Mahathir. Muhyiddin sebagai presiden akan serah permohonan kepada pihak RoS esok,” kata mantan anggota Wanita UMNO, Anina Saadudin kepada portal Malay Mail Online.
Berita itu sekali gus mengesahkan Muhyiddin menjadi ‘proksi’ Mahathir yang secara rasmi tidak mengetuai parti tersebut, malah anaknya sendiri iaitu bekas menteri besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz juga tidak menerajuinya.
Anina turut hadir mesyuarat yang disertai Muhyiddin dan Mukhriz selain Presiden Gabungan Ketua Cawangan UMNO Malaysia, Kamarul Azman dan ketua kumpulan pelajar Challenger, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Beliau menambah, anggota jawatankuasa parti baharu itu ialah Mahathir, Muhyiddin, beliau sendiri, Kamarul, Syed Saddiq dan Akhramsyah Muammar Ubaidah iaitu anak bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Sanusi Junid.
Muhyiddin dalam pada itu turut mengesahkan mengenai perkara tersebut melalui posting di akaun laman Facebook peribadi miliknya pagi 4 Ogos bahkan mengakui satu mesyuarat peringkat jawatankuasa diadakan lewat 3 Ogos.
“Saya akan menyerahkan permohonan kepada RoS dan mendaftarkan parti politik baharu ini dalam masa terdekat,” katanya yang turut menyertakan beberapa gambar mesyuarat tersebut di kediaman Mahathir dekat ibu negara.
Perkembangan terkini itu jelas menunjukkan bekas Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri itu tidak menepati pendirian politiknya selama ini yang menegaskan bahawa dirinya ‘setia’ sebagai ahli UMNO totok.
Mahathir baru-baru ini mengesahkan bahawa beliau hanya akan menjadi anggota perintis parti politik baharu ciptaannya itu yang bakal bersekutu dengan blok pembangkang iaitu Pakatan Harapan disertai DAP, PKR dan PAN.
Ia memastikan situasi ‘satu lawan satu’ bertemu Barisan Nasional pada pilihan raya umum ke-14 dengan merujuk isu pembangkang bertanding sesama mereka semasa pilihan raya Sarawak dan dua pilihan raya kecil baru-baru ini.
Namun, Bernama melaporkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri berkata setakat ini RoS masih belum menerima sebarang permohonan pendaftaran parti politik itu.
Menerusi catatan laman Twitter beliau, Naib Presiden UMNO itu turut memberi jaminan bahawa RoS bersedia meluluskan pendaftaran parti baharu itu jika memenuhi segala peraturan ditetapkan. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA