JAKARTA – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memulakan lawatan kerja tiga hari di sini dengan menghadiri Perundingan Tahunan Malaysia-Indonesia ke-11.
Perdana menteri yang mengetuai delegasi Malaysia tiba di Istana Kepresidenan dan disambut oleh Presiden Joko Widodo serta anggota Kabinetnya.
Antara perkara yang dijadual dalam perundingan itu ialah isu-isu semasa dan juga usaha kerjasama yang sedang dan akan dirancang.
Delegasi Malaysia diketuai oleh Najib manakala Indonesia diketuai oleh Presiden Joko Widodo.
Ini adalah majlis perundingan pertama sejak Jokowi dilantik sebagai presiden, selepas tahun 2013, semasa pimpinan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.
Antara menteri Malaysia yang menyertai delegasi itu ialah Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Menteri Industri Dan Perdagangan Antarabangsa Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Kedua-dua pemimpin negara itu akan mengeluarkan kenyataan bersama sebaik selepas perundingan itu.
Najib yang juga Menteri Kewangan akan turut menghadiri Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) ke-12 pada esok hingga 4 Ogos.
Perdana menteri juga akan menyampaikan ucapan dan mengadakan perbincangan dua hala dengan beberapa pemimpin negara asing. – BERNAMA