JERANTUT – Penubuhan parti baharu serpihan UMNO tidak akan melunturkan semangat anggota, sebaliknya akan membantu mengukuhkan lagi perpaduan dan lebih perjuangkan parti, kata Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.
Beliau berkata penubuhan parti serpihan juga bukan baharu kerana UMNO telah berhadapan dengan situasi itu sebanyak empat kali sejak penubuhannya.
Ujian pertama UMNO berlaku pada 1954 dengan penubuhan Parti Negara diikuti PAS yang lahir daripada ahli agama di dalam UMNO selain berdepan dengan Parti Keadilan Rakyat dan Semangat 46, yang menurut Ahmad Jazlan semuanya berlaku akibat krisis dalaman parti.
“Jika didaftarkan (parti baharu oleh bekas pemimpin UMNO nanti), maka ini adalah kewujudan parti serpihan kelima UMNO. Tetapi adakah kita tewas kepada parti-parti sebelum ini? Tidak. UMNO tidak akan lemah kerana kita memperjuangkan agama, bangsa dan negara, bukan atas konsep individu,” katanya.
Ahmad Jazlan yang juga Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata demikian selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Jerantut di Majlis Daerah Jerantut di sini, hari ini.
Sementara itu di MELAKA, Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata anggota UMNO yang tidak bersetuju dengan kepimpinan parti boleh menggunakan pemilihan parti sebagai wahana atau saluran untuk menyatakan pendirian mereka.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata apabila pemilihan sudah dilakukan di semua peringkat parti, semua anggota UMNO seharusnya menghormati keputusan yang telah dibuat.
“Apabila kita telah memilih siapa yang jadi pemimpin, kita wajib Mempersiapkan diri untuk menghadapi apa jua cabaran.
“Kita tidak boleh bersama pemimpin waktu mereka senang (sahaja) tetapi juga waktu mereka dilanda fitnah dan tohmahan yang sengaja dilakukan untuk meremeh, merendah dan melemahkan organisasi parti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Tangga Batu di sini, hari ini.
Asyraf Wajdi berkata sebagai anggota sesuatu parti mereka perlu memberikan sokongan dan berdiri teguh di belakang kepimpinan parti dalam apa juga keadaan. – BERNAMA