KUALA LUMPUR – PAS mengucapkan tahniah kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu Datuk Dzulkifli Ahmad kerana dilantik ke jawatan itu berkuatkuasa 1 Ogos lalu.
Naib Presiden PAS, Idris Ahmad berkata, PAS percaya majoriti rakyat akan bersama dengan beliau dan SPRM untuk memerangi rasuah di negara ini.
“Tahniah dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu. Beliau menggantikan Tan Sri Dr. Abu Kasim Mohamed bermula 1 Ogos 2016 sehingga 31 Julai 2021.
“Rakyat mengharapkan dan mendoakan Allah S.W.T memberi kekuatan dan keberanian kepada Dzulkifli ketika menjalankan tugas,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Pendirian PAS itu berbeza dengan bantahan secara tidak langsung yang dibuat oleh Pakatan Harapan ke atas pelantikan berkenaan.
“Memang ‘track record’ pegawai SPRM di negara kita boleh dipuji memang terbukti,” katanya. – MYNEWSHUB.CC