SEPASANG pengantin dari China tampil dengan idea berbeza dan unik untuk mengabadikan majlis perkahwinan mereka.
Bagi pasangan Jiang Huizhu dan Zhou Wenlong, mereka memilih untuk bersanding di udara dari sebuah jambatan kaca yang terkenal di Shiniuzhai Geopark wilayah Hunan.
Pasangan ini bersanding pada ketinggian 180 meter (590 kaki) dari permukaan tanah. Meskipun tergantung pada ketinggian itu, pasangan Huizhu dan Wenlong masih mampu tersenyum.
Persandingan ini merupakan satu-satunya majlis perkahwinan yang seumpama ini dan belum pernah dilakukan oleh mana-mana pasangan di dunia.
Huizhu dan Wenlong bersanding pada 9 Ogos lalu yang mana tarikh tersebut merupakan hari Valentine menurut tradisi China.
Menerusi gambar yang dimuat naik oleh laman BBC China, pasangan tersebut bukan sahaja mengabdikan foto mereka di atas jambatan kaca itu, malah mereka juga dilihat memotretkan gambar kahwin mereka dengan berbaring di atas stretcher berwarna merah berlatar belakangkan pokok-pokok yang menghijau.
“Ini sungguh mencabar bagi kami, ianya seolah-olah merayakan sebuah festival dengan cara yang sangat istimewa,” kata Wenlong selepas majlis itu selesai. – MYNEWSHUB.CC