DISEBABKAN prestasi bola sepak Selangor yang merudum, banyak pihak mula menggesa agar kepimpinan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dirombak.
Kebanyakannya menyeru agar barisan kepimpinan sedia ada ditukar supaya satu dimensi baharu dapat dibawa masuk ke dalam persatuan tersebut.
Presiden FAM yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang digesa bertindak, akhirnya mengakui satu rombakan segera akan dilakukan untuk mempertingkatkan prestasi pasukan.
Sehubungan itu juga, FAS mengumumkan penamatan serta merta kontrak ketua jurulatih Zainal Abidin Hassan, semalam.
Dalam pada itu rata-rata penyokong Selangor dikatakan masih tidak berpuas hati dan berharap rombakan lebih besar dilakukan.
Menerusi perkongsian di media sosial Facebook dan laman makro Twitter, beberapa tindakan lain yang dirasakan mereka perlu diambil bagi memulihkan keadaan tenat pasukan merah kuning terus disuarakan.
Antara yang diminta adalah pengurusan FAS diswastakan agar bebas daripada menerima dana kerajaan.
Mereka turut mendesak supaya Setiausaha Agung FAS, Rosman Mohd Ibrahim dan Bendahari FAS, YH Dato Sivansundaram A/L Sithamparam Pillai digugurkan, malah hashtag #SingkirRosman #SingkirSundra hebat dimainkan.
Hari ini, pengumuman berkaitan rombakan dalam FAS diberitakan akan didedah, namun kehendak penyokong Selangor boleh dikatakan hampir jadi kenyataan apabila tersebar kenyataan media menyatakan Sundra dan Rosman sendiri telah mengambil tindakan mengundurkan diri.
Selangor sebelum ini merupakan sebuah pasukan yang sangat disegani di persada bola sepak tempatan kerana memiliki sejarah kejuaraan membanggakan.
Tetapi pasukan Selangor kini boleh diibaratkan seperti harimau kehilangan taring apabila pencapaiannya makin merudum malah berada di tahap yang memalukan.
Kali terakhir Selangor atau dikenali sebagai ‘Red Giants’ merangkul juara piala FA Malaysia adalah pada tahun 2009 dan Piala Malaysia pada 2005. – MYNEWSHUB.CC