KOTA BHARU – Seorang pegawai kanan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di sini yang direman sejak 16 Ogos lepas bagi membantu siasatan berkaitan kes rasuah dan salah guna kuasa, dibebaskan hari ini dengan jaminan RM300,000 dengan seorang penjamin dan tanpa cagaran.
Perintah tersebut dikeluarkan Majistret Ahmad ‘Adha’ Amir Yasser Amri di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Lelaki berusia 47 tahun itu sebelum ini direman selama 13 hari sejak 16 Ogos lepas dan berakhir hari ini.
Pegawai itu ditahan di pejabatnya di Kota Baharu pada 2.30 petang, 15 Ogos lepas dalam operasi serentak yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Kuala Lumpur, Melaka dan Kelantan. – BERNAMA