KUANTAN – Seorang anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) ditetak warga asing yang dipercayai mahu mencuri kayu gaharu di Taman Negara, Jerantut semalam.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Supt Azid Ismail berkata mangsa Mohd Khairul Azuan A. Aziz, 29, ditetak di muka dan tangan kanan semasa melakukan pemeriksaan kawasan di Ulu Sungai Roak, Hulu Tembeling pada pukul 9.30 malam.
Mohd Khairul Azuan ketika itu menyertai pasukan ronda yang terdiri daripada enam anggota tentera dan tiga pegawai Perhilitan.
“Mangsa dan pasukan ronda menyedari kehadiran enam lelaki yang dipercayai warga asing yang memakai lampu di kepala yang melarikan diri apabila menyedari kehadiran pasukan peronda itu.
“Empat anggota tentera tersebut kemudiannya keluar meronda semula dengan mangsa dipercayai menuju ke buaian tempat tidur mereka.
“Mangsa kemudiannya mendengar bunyi tapak kaki menghala ke arahnya lalu dia memasang lampu. Suspek yang dipercayai terkejut dengan keadaan itu telah melibas parang ke arahnya sebelum melarikan diri,” kata Azid semasa dihubungi.
Beliau berkata mangsa menahan libasan terbabit dengan tangan kanannya menyebabkannya tangannya cedera termasuk pada bibir dan gusi.
Seorang rakan sekerja mangsa yang dihubungi di bilik operasi di Kampung Lubuk Payung kemudiannya membuat laporan polis.
Beliau berkata mangsa dapat dibawa keluar untuk menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh tengah hari tadi dengan menggunakan helikopter jabatan bomba dan penyelamat.
Mangsa disahkan luka di tangan kanan, patah lima batang gigi dan luka di bibir. – BERNAMA