MIRI – Pelajar perempuan berusia 11 tahun dari Sekolah Kebangsaan Miri yang dilaporkan hilang semalam bukanlah diculik, kata polis.
Ketua Polis Miri ACP Junaidi Bujang berkata pelajar itu dilaporkan hilang oleh abangnya yang berusia 27 tahun selepas anggota keluarga menjadi bimbang apabila dia tidak pulang ke rumah selepas tamat sesi persekolahan.
“Gadis itu, anak bongsu dalam keluarganya, bukanlah diculik, tetapi dia dibawa pulang oleh anggota keluarganya sendiri, yang merupakan abang iparnya,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Berita tentang kehilangan pelajar perempuan itu membangkitkan kebimbangan, lebih-lebih lagi dalam kalangan ibu bapa, selepas sanak saudaranya memuat naik gambarnya dalam Facebook dan media sosial, serta menggesa orang ramai supaya memberi maklumat tentang lokasi semasanya. – BERNAMA