KUALA LUMPUR – Para pelancong di sekitar Dataran Merdeka di sini merasa teruja walaupun hanya menyaksikan raptai hari pertama sambutan Hari Kebangsaan ke-59 hari ini.
Mereka termasuk sebilangan penduduk tempatan terpesona dengan raptai yang diadakan dan ternanti-nanti hari sebenar sambutan Rabu ini.
Daniele Parisi, 41, dari Itali merasa teruja dengan kerancakan persembahan dan perarakan raptai tersebut.
“Sambutan di negara ini lebih berwarna-warni dan lebih ramai pesertanya berbanding di Itali,” katanya yang akan datang semula menyaksikan sambutan sebenar Rabu ini.
Pelancong dari Sepanyol, Victoria Martin, 27, merasa teruja dengan penyertaan pelajar sekolah yang keadaan itu berbeza di negaranya.
“Sambutan di negara saya lebih kurang sama tetapi yang lebih menonjol di sini ialah penyertaan pelajar sekolah,” katanya.
Pelancong dari Jerman yang hanya mahu dikenali sebagai Mara, 23, tertarik dengan persembahan tarian.
“Di Jerman, kita tidak boleh melihat ramai orang menari di atas jalan,” katanya.
Sementara itu seorang pengunjung tempatan dari Johor, Noor Hafizah Hishamuddin, 27, berkata beliau begitu teruja menyaksikan perbarisan dan perarakan yang turut disertainya semasa bersekolah dahulu.
“Biarpun ia hanya raptai, tetapi saya tetap bersemangat untuk datang menyaksikannya kerana ia begitu dekat di hati saya selain tidak ingin melepaskan peluang melihat dengan lebih dekat persiapan peserta menjelang acara kemuncak pada 31 Ogos nanti,” katanya.
Sebanyak 10 jenis segmen akan diadakan pada sambutaan kali ini yang bertemakan ‘Sehati, Sejiwa’ dengan meliputi kenegaraan, perkhidmatan awam, ekonomi, animasi, sukan, jati diri, ketenteraman awam, keselamatan negara, pertunjukan udara dan segmen rakyat bersepadu. – BERNAMA