PENDUDUK Michigan, Amerika Syarikat gempar apabila beberapa kaki pancing berjaya menangkap sejenis ikan yang mempunyai gigi seperti manusia dan ditemui di beberapa buah tasik di daerah itu.
Bagaimanapun, penangkapan itu telah menimbulkan amaran daripada para pakar hidupan liar kerana ikan berkenaan merupakan spesis pirana dan dikenali sebagai Pacu.
Pacu atau Piaractus brachypomus merupakan hidupan akuatik yang berasal dari hutan Amazon. Difahamkan, ikan berkenaan dilepaskan ke perairan itu kerana pemilik-pemiliknya tidak sanggup untk memeliharanya lagi dan terlalu besar untuk dipelihara di dalam akuarium.
Walau bagaimanapun, Jabatan Sumber Alam Semula Jadi (DNR) Michigan berkata, tindakan melepaskan hidupan akuatik itu ke dalam perairan tersebut adalah tindakan yang tidak berperikemanusiaan.
“Haiwan yang dipelihara kemudian dilepaskan ke alam liar tidak mempunyai kemampuan untuk menghadapi pemangsa dan kemungkinan gagal mencari makan atau tempat berlindung,” kata Nick Popoff, pengurus Unit Spesis Akuatik dan Hal Ehwal Pengawalseliaan DNR.
“Dan haiwan-haiwan yang berjaya hidup di alam liar boleh menyebarkan penyakit terhadap haiwan setempat,” jelas Popoff.
Menurut laman Independent, Pacu mampu membesar sehingga 1 meter panjang dan berat hampir 25 kilogram di habitat semula jadi. Gigi yang dimiliki oleh Pacu cukup kuat untuk mengunyah kekacang, buah-buahan dan tumbuh-tumbuhan. – MYNEWSHUB.CC