KUALA LUMPUR – Pada satu waktu mereka mencerca kononnya pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) membebankan rakyat tetapi pada waktu lain mereka marah jika ada pelajar tidak mendapat pinjaman PTPTN.
Itu sebenarnya sikap hipokrit sebilangan besar pemimpin pembangkang yang sekadar cuba mengambil kesempatan daripada setiap isu yang timbul untuk kepentingan politik mereka semata-mata.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad dalam satu kenyataan hari ini mengecam Pengerusi PTPTN, Datuk Shamsul Anuar Nasarah kerana PTPTN dikatakan tidak mampu memberi pinjaman 100 peratus kepada pelajar yang ingin ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
“Keputusan ini dibuat berdasarkan kadar pembayaran balik peminjam PTPTN yang rendah. Kami memahami kekangan ini akan memberi implikasi kepada pihak PTPTN, namun begitu PTPTN juga perlu sedar bahawa institusi tersebut merupakan sumber utama rakyat Malaysia untuk menyambung pelajaran di peringkat pendidikan tinggi.
“Oleh itu keputusan sebegini bukan sahaja memberi kesan kepada pelajar secara khususnya, tetapi ia juga akan memberi kesan kepada masa depan Malaysia yang semakin sempit ruang untuk mendapatkan pendidikan tinggi,” katanya.
Nik Nazmi dalam pada itu seolah-olah mempertahankan mereka yang tidak membayar pinjaman PTPTN dengan mendakwa kononnya kenaikan kos sara hidup yang tinggi dan beberapa faktor lain.
“Tanpa PTPTN atau apa-apa bantuan kewangan seumpamanya, majoriti rakyat Malaysia akan menghadapi kesusahan untuk menyambung pelajaran sehinggakan ada yang terpaksa meminjam daripada keluarga kawan-kawan,” dakwanya. – MYNEWSHUB.CC