KUALA LUMPUR – Isu pemberian insentif dan pencen serta-merta kepada atlet yang menyumbang pingat untuk negara di temasya Sukan Olimpik tiba-tiba hangat dibicarakan di media sosial.
Walaupun pemberian itu sudah lama diberikan dengan penyumbang pingat pertama negara di Sukan Olimpik Barcelona 1992 iaitu pasangan beregu badminton Datuk Razif Sidek dan adiknya Datuk Seri Jalani, turut menerimanya, isu tersebut timbul apabila satu laporan polis mempertikaikannya menjadi viral di media sosial.
Laporan itu dibuat selepas media melaporkan pemenang pingat perak acara terjun 10m platform seirama Sukan Olimpik Rio, Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong akan berkongsi insentif RM300,000 serta pencen bulanan atas kejayaan mereka pada 10 Ogos lepas.
Insentif di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) yang diperkenalkan pada 1986, membolehkan pemenang pingat emas Sukan Olimpik menerima RM1 juta dan pencen bulanan RM5,000, perak pula RM300,000 dan pencen bulanan RM3,000 manakala gangsa RM100,000 serta pencen bulanan RM2,000.
Mengulas isu itu, Timbalan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Abdul Jalil Abdullah berkata agensi itu berpendapat memang ada kewajaran berhubung pemberian insentif dan pencen kepada atlet yang memenangi pingat di Sukan Olimpik.
“Malaysia telah menyertai temasya sukan itu sejak 1956 hingga kini. Hanya beberapa atlet sahaja yang menyumbang pingat untuk kontingen negara sejak dahulu.
“Jadi memang wajarlah…daripada statistik itu kita tahu bukan mudah untuk mendapat pingat di Sukan Olimpik,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata pemberian insentif itu adalah pengiktirafan dan penghargaan kepada atlet selain memberi galakan kepada mereka agar beraksi dengan lebih bersunggh-sungguh pada masa yang akan datang.
“Kalau kita tengok tentera dan polis, mereka adalah penjawat awam yang mempunyai gaji, elaun dan pencen.
“Ini berbeza dengan atlet yang hanya mendapat elaun dan insentif latihan sahaja. Sekiranya mereka menyertai kejohanan, barulah mereka dapat hadiah kemenangan dan itu bukan suatu kepastian buat atlet,” tegasnya.
Abdul Jalil berkata setiap atlet yang menceburi bidang sukan, majoritinya bermula sejak di bangku sekolah lagi.
“Mereka berkorban masa dan keringat hanya untuk menjulang nama negara di persada dunia. Suatu jangka masa yang panjang diambil untuk mencapai kejayaan di Sukan Olimpik,” katanya.
Beliau juga menegaskan atlet yang benar-benar berjaya dan menjulang nama Malaysia sahaja yang mendapat pengiktirafan yang setimpal.
Sementara itu, Razif percaya pemberian insentif dan pencen itu menjadi ‘pembakar semangat’ kepada atlet untuk lebih cemerlang dan berjaya pada masa akan datang.
“Namun sebagai atlet mereka tidak harus mempunyai fikiran seperti: Aku dah masuk final, sudah pasti dapat pencen. Itu perkara yang tidak betul,” katanya yang bersama Jalani menjadi penyumbang pingat gangsa di temasya Olimpik apabila badminton dipertandingkan buat kali pertama di Barcelona 1992.
Bagaimanapun, Razif berharap atlet tidak terbuai dengan ganjaran sebaliknya memikirkan kepentingan mengharumkan nama negara dan tidak terlalu melihat kepada ganjaran lumayan. – BERNAMA