JIKA sebelum ini, Ronnie Liu Tian Khiew pernah mencetuskan kontroversi pada 2005 apabila mendakwa kononnya pemimpin terkenal Parti Komunis Malaya, Chin Peng patut disanjung sebagai pejuang sebenar kemerdekaan negara.
Itu cerita lama dan bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor tersebut masih belum lagi insaf apabila membuat pelbagai isu ‘panas’ berbaur sensitif waima menyinggung banyak pihak termasuk paling baharu memuat naik status yang cukup rasis menerusi akaun Facebooknya.
Perkara jelik tersebut dapat disaksikan sendiri apabila bekas ADUN Pandamaran yang mewakili parti cauvinis DAP itu menulis posting provokasi sempena temasya Olimpik Rio 2016 berbunyi: “Tak kira Malaysia atau China menang… Cina tetap menang. Bukan?”
Bagi ‘menghangatkan’ lagi perbincangan, beliau yang juga Setiausaha Biro Antarabangsa DAP sinis menulis konon pemain Malaysia boleh menang tetapi: “… dengan syarat hippo tak peluk ketat” yang merujuk saiz badan besar isteri kepada seorang pemimpin negara.
Komen biadap Ronnie Liu itu mendapat respons seorang penyokong parti pembangkang tersebut yang turut menyatakan “… Cina tetap menang!” sekali gus menyerlahkan imej sebenar DAP memang rasis apabila mengaitkan kemenangan pemain dengan kaum tertentu.
Jika beginilah cara DAP tergamak mengeksploitasi temasya Olimpik merujuk kepada etnik pemain, terbukti parti tersebut bukan berjiwa patriotik sebaliknya lebih gemar jumud berminda sempit menjadikan sukan terbesar dunia itu sebagai mangsa bahan politik jahat mereka.
Baca: DAP Mahu Tukar Rizab Melayu, Nama Tempat Kepada Cina
Juga: Pusat Penyelidikan PAS Dedah Rahsia Jahat DAP
Sebelum itu, seorang aktivis terkenal DAP, Hew Kuan Yau yang juga digelar Superman mengguris perasaan rakyat dengan posting bersifat perkauman apabila memutar belit kejayaan beregu campuran badminton negara yang berjaya ke perlawanan akhir Olimpik pada Khamis.
Status beliau dalam bahasa Mandarin bermaksud: “Dengar dengan teliti UMNO, jika orang Cina benar-benar balik China maka Malaysia akan makan pisang dalam Olimpik” yang merujuk kontinjen negara akan pulang dengan tiada apa-apa pingat tanpa pemain kaum Cina.
Jelas bekas pemimpin muda DAP itu tidak bertanggungjawab serta cuba memainkan sentimen rasis apabila sengaja ‘melagakan’ kaum Cina dengan Melayu sekali gus menyerlahkan perbuatan biadap itu sebagai menghasut dan boleh diambil tindakan. -Â Mynewshub.cc/HAA