PADAH memuat naik gambar hidung bertindik, pelakon muda Fathia Latiff dikecam netizen tempatan. Foto berkenaan dimuat naik menerusi Instagram miliknya.
Belum pun reda dengan gosip-gosip yang mengaitkan dirinya mendedahkan aurat diluar negara dan menjadi punca keretakan antara sepasang selebriti tempatan. Kini Fathia terpalit pula dengan isu ‘bertindik hidung’.
Meskipun telah menyatakan kapsyen berbunyi #fakepiercing (palsu), ternyata pengguna laman sosial masih bertikam lidah dan memberikan komen yang berbaur negatif kepada pelakon ini.
Salah seorang daripada pelayar laman sosial yang dikenali sebagai zaharmil mempersoalkan status Fathia sama ada India atau Islam.
“Awk nie India ke Islam cucuk hidung,” soalnya.
“Pakai tudung apa barang bertindik hidung macam lembu,” tulis @yukri_ari.
Komen-komen yang dilontarkan kepada gambar tersebut telah mencetuskan ‘peperangan’ dalam kalangan pengguna media sosial sesama mereka.
Sesetengah daripada mereka menyebelahi dan memahami perbuatan aktres itu sebagai gurauan manakala sebelah pihak lagi memandang serius perkara tersebut sehinggakan melibatkan soal hukum-hakam dan agama.
Bagaimanapun, menerusi penelitian Mynewshub, Fathia tidak memuat naik sebarang komen atau reaksi berhubung ‘peperangan’ yang meletus di salah satu foto miliknya itu.
Bagitulah lumrah seorang selebriti atau artis, baik ataupun buruk sentiasa menjadi perhatian masyarakat. Setiap tindak-tanduk yang dilakukan, ada sahaja pihak yang mempersoalkannya meskipun ‘penjelasan’ telah diberi. – MYNEWSHUB.CC