BUKIT MERTAJAM – Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang (DPPNPP) hari ini membuat laporan polis terhadap portal berita Sarawak Report yang didakwa memfitnah pemimpin parti itu menerima dana RM90 juta daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Laporan itu dibuat Naib Ketua Pemuda DPPNPP Ahmad Rafaei Abdul Rashid di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah, di sini.
Beliau berkata berita yang dilaporkan Sarawak Report itu jelas sekali adalah fitnah dan berniat jahat terhadap PAS serta pimpinan parti berkenaan.
“Ini juga telah memberi persepsi buruk kepada PAS yang selama ini memperjuangkan tentang rakyat, kebajikan dan kebaikan tiba-tiba dapat duit pula. Jadi, ini satu benda yang memburukkan imej kami.
“Kami nafikan laporan Sarawak Report itu. Kayalah kalau betul kami terima dana RM90 juta,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan tersebut.
Ahmad Rafaei berkata pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk tindakan lanjut dan meminta Sarawak Report menarik balik laporan berita itu. – BERNAMA