LARUT – Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata Perak bukan sahaja mahu menjadi sebuah negeri yang maju, malah memerlukan rakyat memiliki ilmu pengetahuan.
Beliau berkata tiada gunanya jika sesebuah negeri hanya membangun dalam aspek ekonomi tetapi rakyatnya miskin dalam ilmu pengetahuan.
“Kita tidak mahu hanya maju dalam bidang ekonomi, mempunyai bangunan tinggi, kepesatan dalam bidang kebendaan, tetapi dari segi ilmu pengetahuan kita gagal mendidik sumber manusia,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Seminar Jom Baca Peringkat Daerah Selama 2016 sempena Program Permukiman Menteri Besar Peringkat Parlimen Larut di Dataran Selama di sini, hari ini.
Zambry berkata Perak merupakan negeri yang sentiasa melahirkan ramai tokoh ilmuan selain mempunyai beberapa universiti seperti Universiti Teknologi MARA(UiTM), Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Univeristi Sultan Azlan Shah (USAS).
“Sebab itulah kerajaan mengeluarkan peruntukan yang besar dalam bidang pendidikan bagi menjadikan rakyatnya mempunyai ilmu pengetahuan,” katanya. – BERNAMA