GEORGE TOWN – Polis sedang memburu seorang pemandu kereta disyaki terlibat dalam insiden langgar lari di Jalan Lebuh Leith menghala ke Jalan Penang, awal pagi tadi yang menyebabkan satu kematian.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Faridalatrash Wahid berkata kemalangan itu melibatkan sebuah kereta Proton Persona dengan sebuah motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggang S. Muniandy, 42, dari Batu Ferringhi, di sini.
Walaubagaimanapun, pemandu kereta yang melanggar bahagian belakang motosikal mangsa telah meninggalkan keretanya di kawasan kejadian.
“Polis telah menunda kereta tersebut ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut dan polis dalam proses menjejaki pemandu tersebut,” katanya di sini hari ini.
Polis juga sedang menyemak rakaman litar tertutup dan akan mengambil keterangan saksi untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Menurutnya, kes akan disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA