EPISOD gempar mengenai laporan polis dibuat Naib ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun konon tiga bekas pegawai tinggi kerajaan berkonspirasi menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berakhir.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar pada Selasa memberitahu bahawa polis telah menutup kes itu dan tidak akan meneruskan siasatan dakwaan tersebut kerana mendapati laporan berkenaan dibuat berasaskan andaian.
Ia melibatkan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Abu Kassim Mohamed; bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail
Polis ujar beliau juga tidak akan memanggil ketiga-tiga individu tersebut untuk memberi keterangan lebih lanjut.
Bercakap kepada wartawan selepas satu majlis jamuan Hari Raya di Kuala Lumpur, Abdul Khalid berkata polis sudah merakamkan keterangan Khairul Azwan dan beliau tidak dapat beri apa-apa bukti untuk sokong dakwaannya.
“Jadi polis tidak berhajat untuk meneruskan siasatan, kita malah telah memberhentikan siasatan tersebut,†katanya. Walau apapun kata beliau, polis tidak pula akan mendakwa Khairul kerana membuat laporan palsu.
“Tidak, dia mungkin baca laporan dari akhbar, dan dia mendengar cerita, dia ada sebab untuk membuat laporan polis. Tetapi apabila temubual dia, kita mendapati apa yang dituduhnya cuma berdasarkan cakap dengar.
“Ia juga mungkin maklumat apa yang dia baca, jadi andaian tersebut kita tidak boleh meneruskan siasatan,†kata Abdul Khalid.
Khairul Azwan dalam laporannya di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi Kuala Lumpur baru-baru ini mendakwa mereka sama ada berseorangan atau berkumpulan menyalurkan maklumat tanpa kebenaran kerajaan kepada pihak asing.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa mengulas hal berkenaan pada sidang akhbar mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada Jumaat lalu menjelaskan bahawa laporan polis dibuat itu atas kapasiti individu dan bukan parti.
Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut memberitahu hal yang sama kepada wartawan bahawa tindakan Khairul Azwan itu bukan mewakili sayap pergerakan tersebut. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA