New York – Pihak polis sedang memburu seorang perompak bank yang dilihat kali terakhir memakai topi hitam, kasut tumit tinggi dan gaun ala puteri Disney berwarna perak.
Lelaki berpakaian wanita itu masuk ke dalam Bank Santander di Staten Island pada petang Isnin lalu dengan memakai gaun baldu berwarna perak dan skirt tulle.
Dia kemudian mengeluarkan sepucuk pistol yang warnanya sama dengan gaun dipakainya dan merampas wang berjumlah $780 (RM3,140), lapor akhbar New York Times.
Menurut Biro Penyiasatan Persekutuan, gelagat lelaki itu dirakam kamera litar tertutup kedai runcit berhampiran tempat dia menukar gaun yang dipakainya kepada seluar pendek.
Jabatan polis New York sudah mengeluarkan gambar dan rakaman video lelaki terbabit memakai kostum supaya orang ramai dapat mengenal pastinya. – Agensi/myMetro Online