JOHOR BAHARU – Pasukan Polis Marin (PPM) menahan 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dipercayai menyeludup masuk ke negara ini di pesisiran pantai Ladang Sungai Tengah, Pengerang dekat Kota Tinggi, hari ini.
Komander PPM Wilayah Dua ACP Paul Khiu Khon Chiang berkata kesemua enam lelaki dan tujuh wanita rakyat Indonesia itu ditahan secara berasingan menerusi Op Landai dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), antara 5 pagi dan 11 pagi tadi.
“Menerusi serbuan pertama pada 5 pagi tadi, PPM Pengerang dan ATM mengesan dua lelaki dan empat wanita yang baru sahaja mendarat dan bersembunyi dalam semak di pesisiran pantai berkenaan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Khiu berkata dalam serbuan kedua pada 7.30 pagi pula, pihaknya dan ATM menahan dua lelaki di lokasi berhampiran manakala dua lelaki dan tiga wanita ditahan dalam serbuan ketiga pada pukul 11 pagi.
Beliau berkata kesemua mereka yang berumur 20-an dan 40-an itu gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah.
Menurutnya kesemua mereka kemudian dibawa ke Balai Polis Bandar Penawar, Kota Tinggi, untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen. – BERNAMA