TAMPIL berkeyakinan dengan imej baharu, pelakon dan penyanyi Raja Ema Raja Ibrahim akui lebih selesa jika dia dikatakan telah bertudung dan bukannya berhijab.
“Saya rasa lebih selesa jika saya dikatakan telah menutup aurat dengan mengenakan tudung. Bagi saya, berhijab itu membawa maksud yang sangat besar.
“Pada pendapat saya, berhijab bukan sahaja menutup aurat semata-mata tetapi menutup segala kecantikan daripada tatapan umum dan mematuhi hukum syariah sepenuhnya.
“Kini saya masih lagi dalam proses percubaan dan masih banyak yang perlu saya pelajari. Saya mengenakan tudung mengikut keselesaan saya,” kata Raja Ema, 47; kepada Astro Gempak.
Tambahnya, dia tidak berasa risau atau bimbang jika tawaran yang diberikan kepadanya akan berkurangan kerana dia sudah mula bertudung.
“Ada kemungkinan saya tidak akan menerima tawaran seperti sekarang, tetapi saya tidak bibang dan sudah sedia maklum akan perkara itu.
“Penerbit dan pengarah semestinya pandai untuk menyesuaikan watak dengan penampilan seseorang artis. Andai kata rezeki saya dalam bidang lakonan berkurangan, saya sudah bersedia dengan perniagaan sendiri,” katanya. – MYNEWSHUB.CC